Monday, November 03, 2008

Penggunaan Anak Benih Sawit Berkualiti




PENGELUARAN produk sawit di Malaysia sememangnya telah mencapai tahap yang memberangsangkan dan telah dieksport ke merata tempat di seluruh dunia. Hasil sawit negara diakui amat berkualiti sehingga mendapat kepercayaan pengguna baik di peringkat nasional mahu pun antarabangsa.

Hasil keluaran sawit yang berkualiti sudah pastinya datang dari baka yang baik, bak kata pepatah, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.

Malaysia telah menghasilkan baka yang berkualiti tinggi hasil usaha kerajaan membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri ini. Di Malaysia, jenis buah kelapa sawit yang banyak ditanam adalah dari jenis Tenera.

Tenera adalah hasil kacukan baka induk dari jenis Dura dan Pisifera dan buah kelapa sawit ini mewarisi kepelbagaian yang bagus dan positif dari kedua-dua baka induk yang asal.

Baka Tenera mempunyai kurang serat, kandungan minyak yang lebih tinggi serta tidak mudah gugur dari tandannya. Buah kelapa sawit inilah yang sering kali mengharumkan nama negara dalam industri kelapa sawit khasnya dek kualiti yang tiada bandingannya.

Penggunaan anak benih sawit yang berkualiti akan mendorong kepada peningkatan produktiviti hasil buah tandan segar dan sekali gus industri sawit negara.

Hal ini demikian kerana kebanyakan buah yang dihasilkan amat berkualiti selain kurang mengalami kerosakan. Sekiranya hampir 90 peratus ladang yang dituai buahnya boleh digunakan maka hasil yang diperoleh akan berlipat kali ganda banyaknya.

Penurunan jumlah buah kelapa sawit yang rosak akan menurunkan peratusan kerugian yang dialami oleh sesebuah syarikat atau pengusaha ladang sawit. Hal ini seterusnya akan memajukan lagi sektor ini dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Memang diakui, penggunaan anak benih yang berkualiti akan menghasilkan buah yang berkualiti. Namun, kualiti anak benih yang terjamin hanya mampu diperoleh melalui pembelian daripada peniaga yang mempunyai lesen daripada MPOB serta pengusaha tapak semaian yang mempunyai Sijil Kewibawaan Pengurusan Tapak Semaian (OPNCC).

Ini disebabkan, pemilihan anak benih adalah kritikal serta hanya anak benih bermutu berumur 12 bulan ke atas yang melalui proses penakaian yang sempurna saja layak ditanam di ladang. Maka tidak hairan, penggunaan anak benih berkualiti menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti.

Peningkatan produktiviti akan memberi pulangan balik modal kepada pengusaha sawit. Kualiti yang terjamin dapat meningkatkan pendapatan golongan ini sekali gus mempengaruhi pendapatan ekonomi negara kerana Malaysia mempunyai pasaran yang luas bagi produk berasaskan sawit.

Seterusnya, peningkatan produktiviti sawit adalah penting bagi merealisasikan visi 35:25 iaitu pengeluaran 35 tan buah tandan segera sehektar setahun dan pencapaian 25 peratus kadar perahan minyak sawit setahun.

Selain itu, masyarakat tempatan amnya akan mula mempercayai produk atau hasil sawit buatan tempatan. Hal ini akan menyebabkan produk berasaskan sawit buatan Malaysia akan dapat bersaing dengan produk import. Contohnya, minyak sawit keluaran tempatan akan dapat bersaing dengan minyak kacang soya keluaran Amerika Syarikat. Hasilnya, kos mengimport barangan dari luar akan dapat dikurangkan dan aliran wang tunai ke Malaysia akan bertambah.

Konklusinya, semua pihak perlulah bekerjasama dalam memastikan penggunaan anak benih sawit yang berkualiti supaya masyarakat dan negara akan mendapat manfaat darinya.

posted by ALIFF AGROTECH @ 1:34 PM   1 Comments