Thursday, June 19, 2008

MEMBERI MANFAAT KEPADA MASYARAKAT DENGAN BERCUCUK TANAM


عن أنس قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما من مسلم يغرس غرسا إلا كان ما أكل منه له صدقة. وما سرق له منه صدقة. وما أكل السبع منه فهو له صدقة. وما أكلت الطير فهو له صدقة.

Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak ada seorang muslim pun yang menanam pokok atau mengusahakan pertanian lalu burung, manusia atau binatang memakan daripadanya kecuali akan menjadi sedekah untuknya. (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan kepentingan bekerja sebagai petani sebagai satu aktiviti ekonomi. Rasulullah s.a.w. menyebutkan ganjaran pahala yang akan diperolehi apabila orang lain atau makhluk-makhluk lain mendapatkan manfaat daripadanya. Dua faedah yang diperolehinya, pertama dia dapat menikmati hasil tanaman dan kedua pahala di akhirat.

Bahkan di dalam riwayat lain disebutkan ganjaran pahala ini akan berterusan hingga hari akhirat.

Orang yang mengusahakan tanah mendapat pahala dengan sebab penyertaannya dalam kegiatan memakmurkan bumi yang merupakan salah satu tugas khalifah. Dia bukan hidup untuk dirinya sahaja tetapi bekerja untuk kebaikan masyarakatnya. Dengan segala kemampuannya, dia tampil untuk melakukan kebajikan dalam bentuk menghijaukan bumi.

Manfaat pokok bukannya diperolehi dalam tempoh terdekat. Kemungkinan orang yang menanamnya tidak sempat merasai hasilnya. Bagaimanapun dia menanam bukan semata-mata untuk dirinya tetapi untuk generasi akan datang. Sama ada pokoknya akan menghasilkan buah atau tidak, dia mestilah optimis dengan usahanya terhadap tanaman. Hal ini ditegaskan oleh sebuah hadis yang lain. Rasulullah s.a.w bersabda:

إن قامت الساعة وبيد أحدكم فسيلة فإن استطاع أن لا يقوم حتى يغرسها فليفعل

"Apabila berlaku kiamat dalam keadaan di tangan kamu ada anak pokok maka hendaklah dia menanamnya.(hadis riwayat Ahmad)

Pengajaran hadis

Hadis ini juga mengisyaratkan satu bentuk wakaf iaitu mewakaf usaha kita dengan cara menanam pokok yang memberi manfaat kepada semua. Pahala akan terus didapati selagi pokok tersebut dapat dimanfaatkan. Hal ini sama dengan kaedah wakaf. Bezanya wakaf itu lebih bersifat kepada milik peribadi yang diserahkan untuk kegunaan umum atau pihak tertentu.

Selain itu, hadis ini memberi panduan kepada kita bagaimana untuk memastikan diri kita terus memperolehi ganjaran walaupun setelah meninggal dunia. Hasil usaha kita yang memberi manfaat kepada orang lain akan mendatangkan ganjaran pahala selagi ianya terus ada dan dimanfaatkan. Ada kalanya orang akan menyebut-nyebutkan usaha yang pernah kita lakukan sebagai menyatakan terima kasih kepada kita serta mendoakan untuk kita. Inilah yang dimaksudkan umur yang panjang ; masih dikenang dan diingat walaupun kita telah meninggal dunia.

Hadis ini juga mendidik individu yang mempunyai tanaman yang dicuri buahnya oleh orang lain atau habis dimakan binatang akan mendapat kurnia Allah s.w.t. dalam bentuk ganjaran pahala. Kurniaan ini lebih bersifat abadi dan kekal berbanding dengan harta dunia kerana itulah yang amat diperlukan di akhirat kelak. Dia tidak akan merasa kecewa atau marah sebaliknya dia akan terus berusaha supaya semua makhluk akan mendapat kebaikan dari titik peluhnya. Allah s.w.t. berfirman:

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Apa yang di sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan". (al-Nahl: 96)

Begitu juga hadis ini mengajar kita untuk berbudi kepada tanah dengan mengusahakannya di samping menyatakan kepada kita kelebihan memberi makan kepada setiap yang bernyawa berdasarkan kepada hadis:

في كل كبد رطبة أجر.

"Pada setiap yang bernyawa itu ada ganjaran pahala." (al-Bukhari)

Di dalam al-Quran banyak disebutkan bimbingan supaya mengambil petunjuk daripada kekuasaan dan penciptaan Allah yang menghidupkan bumi dengan tanaman-tanaman. Dengan melibatkan diri dalam pertanian seseorang akan lebih memerhati hakikat dan hikmat di sebalik kejadian Allah s.w.t. Dengan itu, imannya sentiasa diperbaharui dan ditingkatkan.

(Syarah hadis disediakan oleh Ust Muhammad Hanief Awang Yahya untuk www.darulkautsar.com )

posted by ALIFF AGROTECH @ 2:35 AM   1 Comments

Tuesday, June 03, 2008

Pertanian Adalah Perniagaan

Alhamdulillah , Bersyukur Kehadrat Ilahi dengan terhasilnya Blog Projek Pertanian ini. Terletak di Daerah Kuala Berang , Hulu Terengganu . Pemangkin kepada industri pertanian setempat dalam merealisasikan wacana ECER Tahun 2008.



Tahniah diucapkan Kepada YB Rozi bin Mamat atas perlantikan sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Terengganu. Selamat berkhidmat di ucapkan kepada beliau !

Labels: , ,

posted by ALIFF AGROTECH @ 4:18 PM   1 Comments